Wednesday, August 27, 2008

Tidak akan berlaku perubahan politik di Sabah

KOTA KINABALU 27 Ogos - Barisan Nasional (BN) Sabah memberi jaminan tidak akan berlaku apa-apa perubahan politik di negeri ini meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim menang pada pilihan raya kecil di Permatang Pauh, semalam.
Penolong Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kemenangan itu langsung tidak merangsang Ahli-ahli Parlimen UMNO untuk menyertai pembangkang.
"Tidak ada sebab wakil rakyat UMNO atau BN Sabah perlu melompat parti untuk memenuhi impian Anwar menubuhkan sebuah kerajaan baru. Perkara ini tidak akan menjadi kenyataan.
"Ini kerana kerajaan baru yang dijanjikan Anwar belum tentu dapat menjamin pembelaan atau perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah seperti yang dilakukan BN," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, BN tidak perlu gentar atau terikut-ikut dengan permainan politik Anwar yang jelas tidak berasas.
Timbalan Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin pula berkata, kemenangan itu tidak akan mempengaruhi wakil rakyat BN Sabah menyertai pembangkang.
''Kemenangan itu mungkin hanya memberi kekuatan untuk pembangkang bersuara lebih lantang di Dewan Rakyat, tidak lebih daripada itu dan tidak ada apa yang perlu dirisaukan," katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, hasrat Anwar untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baru hanya impian kerana tidak ada Ahli Parlimen Sabah yang menghiraukannya.
Sementara itu, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata, rakyat Malaysia khususnya di Sabah dan Sarawak perlu bersedia untuk satu 'perubahan baru' berikutan perkembangan itu.
Bekas Ketua Menteri itu berkata, keputusan pilihan raya kecil tersebut membuktikan pengundi di Permatang Pauh yang 69 peratus Melayu menolak politik perkauman yang dibawakan BN.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, pula mengulangi kenyataannya bahawa ahli-ahli Parlimen BN Sabah akan keluar dan bergabung dengan pakatan rakyat.
''Saya percaya jumlah yang ingin melompat parti sekarang lebih daripada 13 orang.
''Masyarakat mahu perubahan dan sudah menjadi tanggungjawab wakil rakyat yang dipilih untuk melakukan perubahan itu," katanya. sumber - Utusan Malaysia 28 Ogos 2008 / 26 Syaaban 1429